PETALING JAYA – Berdepan kemelut rumah tangga, pelakon Syida Melvin menzahirkan rasa terharu atas sokongan orang ramai yang mendoakan agar dirinya terus kuat menghadapi ujian hidup.
Syida atau nama lengkapnya, Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, 29, mengakui tidak mampu membalas setiap kata-kata mahupun kebaikan netizen yang memahami situasi dilaluinya.
“Tak terbalas semua komen, DM (mesej langsung), kata-kata manis dan doa kalian dekat saya. Terima kasih,” katanya dalam hantaran di Threads.
Pelakon drama Cinta Yang Ku Rasa itu turut mengakui hanya berserah kepada ketentuan takdir selain yakin isu yang dihadapinya mempunyai hikmah tersendiri.
“Allah maha mengetahui. Dia pegang hati kita semua. Dia nak bolak-balikkan bila-bila masa saja boleh jadi. Dan saya percaya pada takdir, takdir itu milik aku,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen ramai netizen menitipkan kata-kata semangat untuk adik kepada pelakon Syatilla Melvin itu.
“Semoga dipermudahkan segala urusan Syida. Semoga semuanya baik-baik sahaja buat Syida dan keluarga,” tulis netizen.
Terdahulu, Syida memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 36, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Disember tahun lalu.
Sebutan pertama kes tersebut baru sahaja dijalankan pada 2 April lalu di mahkamah sama.
Syida dan Mohamad Syafiq yang merupakan anak kepada Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid berkahwin pada 19 Januari 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa. – KOSMO! ONLINE














