ISTANBUL, Turkiye – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Istanbul, Turkiye bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke republik berkenaan bermula hari ini hingga Jumaat.
Mohamed Khaled dan delegasi Kementerian Pertahanan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 9.30 malam waktu tempatan sebelum disambut Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar.
Sepanjang lawatan rasmi selama tiga hari itu, Mohamed Khaled dijadualkan menghadiri beberapa pertemuan penting bersama rakan sejawat termasuk Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler.
Selain itu, beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata bersama Menteri Industri Pertahanan Azerbaijan, Vugar Mustafayev dan Menteri Pertahanan Sudan, Hassan Daoud Kayan, sekali gus berterusan mengukuhkan hubungan pertahanan negara antarabangsa.
Selain itu, Mohamed Khaled turut dijadualkan menghadiri International Defence Industry Fair (IDEF) 2025 yang merupakan antara pameran industri pertahanan paling berprestij di dunia dihoskan oleh Ministry of National Defense Turkiye.
Pada acara yang berlangsung di Pusat Ekspo Istanbul itu, Mohamed Khaled juga dijadualkan menyaksikan beberapa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) melibatkan kerajaan atau syarikat Malaysia dengan pihak dari Turkiye.
IDEF berlangsung bermula 22 hingga 27 Julai merupakan platform yang menghimpunkan wakil sektor awam dan swasta mempamerkan produk serta teknologi baharu khususnya dalam bidang pertahanan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan wakil bertaraf menteri daripada Secretariat of Defence Industries (SSB) iaitu institusi yang menguruskan industri pertahanan Turkiye dan pembekalan teknologi ketenteraan.
Kemuncak lawatan rasmi Mohamed Khaled ke Turkiye seterusnya diakhiri dengan kunjungan
delegasi Kementerian Pertahanan ke Istanbul Shipyard bagi meninjau perkembangan pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Untuk rekod, pada Jun tahun lalu, Kementerian Pertahanan telah menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga kapal LMS kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).
Pembinaan dan kelengkapan kapal itu telah dilakukan di Turkiye melibatkan kerjasama 50 syarikat daripada sektor pertahanan Turkiye antaranya Aselsan, Havelsan dan Roketsan.
Kapal LMS itu akan disepadukan dengan sistem termaju dan dilengkapi sistem senjata canggih, penderia serta sistem arahan dan kawalan yang membolehkan TLDM melaksanakan pelbagai misi dengan berkesan.
LMS batch kedua merupakan korvet kelas-Ada ialah jenis kapal peronda dan peperangan antikapal selam (ASW) yang dilengkapi peluru berpandu antipesawat canggih selain mempunyai sesaran kira-kira 2,500 tan, panjang 99.56 meter (m), lunas 14.42 m dan draft 3.94 m serta dikuasakan oleh enjin Renk Codag 31,640 kW (42,430 hp).
Dengan had laju maksimum lebih 26 knot dan jarak pelayaran sejauh 4,000 kilometer pada 14 knot, ia boleh memuatkan 111 anak kapal dan daya tahan maksimum selama 14 hari.
Ia turut dilengkapi dengan helipad dan hangar untuk menyimpan dan mengendalikan helikopter ASW atau pengangkut bersaiz sederhana serta pesawat tanpa pemandu (UAV). – KOSMO! ONLINE