JAKARTA – Kemeriahan majlis perkahwinan anak Gabenor wilayah Jawa Barat, Dedi Mulyadi bertukar tragedi apabila tiga orang maut termasuk seorang kanak-kanak akibat rempuhan ketika orang ramai berpusu-pusu mendapatkan makanan percuma, lapor laman berita Berita Merdeka semalam.
Kejadian berlaku Jumaat lalu apabila tuan rumah mengedarkan sebanyak 5,000 makanan percuma di Alun-Alun Garut.
Menurut saksi, keadaan terlalu padat dengan orang ramai yang saling menolak untuk mendapatkan makanan percuma.
“Ramai orang pengsan dan saya turut membantu kanak-kanak yang tersepit. Pintu pagar hanya dibuka sedikit sahaja,” kata seorang penduduk, Neulis.
Tambah Neulis, dia cuba membantu beberapa orang termasuk salah seorang mangsa maut yang berusia lapan tahun.
“Kakak saya menggendong mangsa sambil berlari. Namun, selepas diperiksa keadannya, dia sudah tidak bernyawa,” kata Neulis.
Menurut laporan, tuan rumah membuat pengumuman mengenai pemberian makanan percuma menerusi media sosial.
Ia menyebabkan beribu-ribu orang membanjiri lokasi majlis perkahwinan sejak pagi. – AGENSI