PETALING JAYA – Putrajaya, Melaka dan dua kawasan di Selangor antara enam lokasi di Semenanjung Malaysia yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 6 petang tadi.
Berdasarkan maklumat terkini di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Nilai di Negeri Sembilan merekodkan IPU tertinggi dengan bacaan 162.
Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Johan Setia, Selangor (153) Banting, Selangor (153), Putrajaya (151), Alor Gajah, Melaka (135) dan Temerloh, Pahang (116).
Sementara itu, sebanyak 56 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana antara 51 hingga 100.
Antara kawasan terbabit ialah Cheras, Kuala Lumpur (96), Segamat, Johor (77), Taiping, Perak (78) dan Kangar, Perlis (62).
Bagaimanapun, bilangan kawasan dengan IPU tidak sihat dijangka meningkat berikutan beberapa kawasan sederhana kini hampir mencecah bacaan IPU melebihi 100.
Dalam pada itu, hanya enam kawasan direkodkan berada pada tahap IPU baik, membabitkan Sabah dan Sarawak.
Empat kawasan di Sarawak ialah Sarikei (49), Sibu (45), Samarahan (49) dan Sri Aman (40), manakala dua di Sabah ialah Tawau (47) dan Kimanis (47). – KOSMO! ONLINE