GOMBAK – Sebanyak empat buah kereta mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki warga emas yang cuba mengelak seekor anjing melintas di Taman Sri Gombak, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, lelaki berusia 68 tahun yang memandu sebuah Honda Civic dari Jalan Tun Razak menghala ke Sri Gombak dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu terbabit cuba mengelak anjing yang tiba-tiba melintas jalan sebelum melanggar tiga buah kereta yang sedang diparkir di tepi jalan.
“Akibat perlanggaran tersebut, empat buah kenderaan termasuk milik pengadu mengalami kerosakan. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Sazila Yusuf di talian 013-3083696 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-6126 2222. – KOSMO! ONLINE