fbpx

Jerebu: Pengunjung pantai Port Dickson pakai pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung pantai peranginan Port Dickson, Muhamad Azman Zakaria, 63, dan isteri mula memakai pelitup muka susulan jerebu melanda negara ini sejak semalam. - Foto NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

PORT DICKSON – Pengunjung pantai peranginan di daerah ini mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka susulan jerebu melanda negara ini sejak semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) Port Dickson antara lima lokasi tidak sihat setakat pukul 9 pagi tadi, orang ramai masih melakukan aktiviti riadah seperti biasa.

Menurut seorang pengunjung, Muhamad Azman Zakaria, 63, dia bersama isteri dan anak-anak dalam perjalanan dari Linggi ke Pacitan sebelum singgah sebentar di Batu 1 untuk membeli barang sempena Jualan Rahmah dan beriadah di tepi pantai.

“Keadaan jerebu ini biasanya disebabkan kebakaran yang berlaku di negeri jiran. Jadi, jika mahu beriadah di tempat terbuka (kawasan IPU tidak sihat) wajarlah kita pakai pelitup muka bagi menjaga kesihatan.

“Malah, saya sendiri sentiasa memastikan pelitup muka disimpan dalam kenderaan. Jadi ia boleh digunakan pada waktu kecemasan termasuk jerebu,” katanya, hari ini.

Sehingga pukul 11.50 pagi tadi, empat lokasi di tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang mencatat bacaan IPU tidak sihat.

Kemas kini maklumat di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara, Jabatan Alam Sekitar mendapati Nilai merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 160, diikuti Johan Setia (155), Banting (152) di Selangor serta Temerloh, Pahang (101).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI