NEW YORK – Syarikat penerbangan Virgin Atlantic mengulas mengenai insiden tular di mana bagasi penumpang dikotori bahan seperti tahi, sambil menegaskan bahawa kotoran tersebut bukan najis dan tidak berasal daripada pesawatnya.
Seorang penumpang memuat naik video dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) dan mendakwa bahawa Virgin Atlantic mengosongkan tandas pesawat ke atas bagasi.
Penumpang itu berkata, terdapat bau busuk di kawasan karpus bagasi sebelum beg-beg tersebut muncul.
Beberapa beg dari penerbangan Heathrow di London ke JFK kelihatan dicemari kotoran berwarna coklat muda
“Saya benar-benar terkejut. Saya tidak percaya apa yang saya lihat dan bau,” katanya dalam keterangan klinik video tersebut.
Dia mendakwa syarikat penerbangan itu tidak membuat pengumuman rasmi mengenai apa yang berlaku dan ada kanak-kanak yang terkena tahi pada badan mereka.
Seorang lagi penumpang meluahkan kemarahan berhubung perkara itu.
“Bagaimana semua beg ini boleh terkena najis manusia? Kakitangan lapangan terbang berkata bahawa mereka tidak boleh sediakan tisu, beg baharu atau sanitizer. Semua pakaian rosak kerana beg saya diperbuat daripada kain!” katanya.
Virgin Atlantic bagaimanapun menafikan bahan itu adalah najis manusia atau berasal dari pesawat.
“Kami sedar tentang kegagalan sistem di JFK yang menjejaskan bagasi sebilangan kecil pelanggan pada 14 Julai lalu.
“Kami bekerjasama dengan pihak JFK dan pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan masalah ini. Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelanggan,” kata seorang jurucakapnya kepada akhbar Daily Mail semalam.
Syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa bahan tersebut adalah minyak/gris daripada paip yang rosak di terminal. – AGENSI