MUAR – “Keluarga saya pun ada buat solat hajat dengan harapan dia ditemukan segera, rupa-rupanya ada sesuatu yang kami langsung tak jangka berlaku.”
Itu kata Muhammad Syahmi Mansur, 30, rakan kepada Tengku Nizaruddin Tengku Tengku Zainudin, 38, yang kononnya hilang tetapi sebenarnya melarikan diri ke Thailand.
Muhammad Syahmi berkata, dia bersama rakan-rakan lain kecewa dengan tindakan kurang cerdik Tengku Nizaruddin yang dikenali Ija.
“Mana saya nak letak muka? Semua dah kenal saya, nak pergi kerja pun takut. Saya bantu dengan ikhlas sampai ambil cuti semata-mata nak pergi mencarinya di sana (sungai di Muar).
“Semua rakan yang bantu mencarinya rasa kecewa. Tak sangka dia buat macam pada kami dan saya pun tak tahu apa motif dia.
“Orang dah kenal saya kerana berenang di sungai itu. Saya malu nak keluar rumah, sampai tahap ini sekali saya dipermainkan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia dan ahli keluarga sepatutnya berjumpa pengamal perubatan di Segamat sebagai ikhtiar terakhir mengesan keberadaan Ija selepas operasi tidak memberi petunjuk.
“Kami sepatutnya nak ke kawasan kejadian nak cuba carilah mana tahu ada terjumpa atau apa-apalah tetapi apabila dapat tahu perkara ini, mana saya nak letak muka dengan keluarga saya.
“Kalau dia ada masalah sekalipun, biarlah kita bantu, kata ramai kawan. Masalah tu mungkin kita boleh duduk semeja berbincang macam mana sekali pun bukan dengan cara macam ini,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Syahmi sanggup berenang sebaik sahaja menemukan kereta yang dipandu Ija tenggelam di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong di sini pada Selasa lalu.














