PERJALANAN hampir tiga jam setengah menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo di Labuan Bajo, Indonesia seakan tidak dirasai penulis.
Rasa teruja dan berdebar terus menyelimuti perasaan penulis tatkala pesawat Airbus 320 itu terus membelah awan menuju ke kepulauan Nusa Tenggara Timur memandangkan hasrat ke Labuan Bajo sudah lama diimpikan.
Sejurus pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo, melihat kepada namanya sahaja, penulis terus teruja kerana itulah misi utama iaitu mencari komodo dragon yang menjadi simbolik Labuan Bajo.
Selain terkenal dengan keindahan pulau memukau dengan hamparan laut membiru, Labuan Bajo juga sebenarnya sering dikaitkan sebagai ‘rumah’ kepada komodo, banyak spesies haiwan itu berada di sini.
Sebagai maklumat, komodo merupakan haiwan seakan biawak tetapi mempunyai saiz yang sangat besar dan sering ditemui di beberapa lokasi di Labuan Bajo seperti di Taman Nasional Komodo, Pulau Rincha dan Pulau Gili Motang.
Sebenarnya, perancangan asal penulis untuk melihat haiwan itu ialah di Taman Nasional Komodo memandangkan lokasi itu menjadi rumah kepada spesies varanus komodoensis.
Ia merupakan satu-satunya spesies biawak terbesar di dunia dan hanya ditemukan di beberapa pulau di Indonesia seperti Pulau Komodo dan Pulau Rincha.

BIAWAK komodo sering ditemui di beberapa lokasi di Labuan Bajo seperti di Taman Nasional Komodo, Pulau Rincha dan Pulau Gili Motang.
Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dibatalkan disebabkan keadaan cuaca tidak mengizinkan dan pihak berkuasa melarang perjalanan ke pulau berkenaan.
Susulan itu, pemandu pelancong yang mengendalikan kumpulan penulis menyarankan kami ke Pulau Rincha untuk melihat haiwan berkenaan.
Meskipun sedikit kecewa, namun selepas tiba di pulau berkenaan dan memulakan misi mencari komodo, hati penulis akhirnya bersorak riang apabila menemui apa yang dicari.
Jika dapat digambarkan, komodo yang terdapat di Labuan Bajo sememangnya bersaiz besar dan sedikit menyeramkan berikutan keadaan fizikalnya seakan buaya.
Penulis juga sempat bergambar bersama haiwan itu tetapi diberi arahan untuk berada pada jarak sekitar lima meter bagi memastikan keselamatan terus terjaga.
Selain mencari komodo, Labuan Bajo juga jadi lokasi terbaik untuk menikmati aneka makanan laut yang segar dan menu tradisional lain.
Dalam kunjungan itu, penulis berkesempatan menikmati menu makanan laut bakar di Ayana Komodo Hotel, suasananya begitu menawan kerana ditemani cahaya matahari terbenam yang memukau pandangan.
Selain itu, penulis jika tidak dapat melupakan kenangan menikmati hidangan makanan tengah hari berasaskan daun moringa yang dianggap penulis sebagai unik dan menyihatkan.














