fbpx

Pearly-Thinaah mara ke kelompok empat terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY-Thinaah bakal turun menentang wakil tuan rumah pada aksi separuh akhir Terbuka Jepun.

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan rentak cemerlang mereka apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 selepas menewaskan gandingan Korea Selatan sebentar tadi.

Gandingan yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan itu tidak membuang masa apabila tampil garang untuk menumpaskan Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo menerusi keputusan secara straight set 21-15, 21-19 dalam tempoh 55 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Kemenangan tersebut bukan sahaja menempah slot ke kelompok empat terbaik, malah menjadi penebus maruah kepada kekalahan mereka di suku akhir edisi tahun lalu di tangan beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dengan 21-17, 14-21, 10-21, namun kali ini tampil lebih matang dan agresif sejak awal permainan.

Hasil kemenangan itu, juara Terbuka Thailand tersebut bakal berdepan cabaran getir menentang beregu ranking No. 2 dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam usaha memburu slot ke final kejohanan bertaraf Super 750 itu.

Perlawanan separuh akhir itu dijangka sengit memandangkan kali terakhir Pearly-Thinaah mencipta kemenangan ke atas Matsuyama-Shida sewaktu di Terbuka Perancis 2022.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila mereka tersingkir di peringkat suku akhir.

Gandingan muda itu tumpas kepada pasangan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam pertarungan tiga set yang berakhir dengan keputusan 13-21, 21-18, 13-21 juga dalam masa 55 minit. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI