BARCELONA – Bintang sensasi Barcelona, Lamine Yamal cukup bersemangat untuk membawa pasukan itu menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan sekali gus menamatkan penantian kejuaraan 11 tahun.
Sebagai rekod, Yamal berjaya membantu The Catalans menjuarai trofi trebel domestik musim lepas dengan mendominasi saingan La Liga, Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol.
Kini, Yamal mempunyai dua misi penting musim depan kerana selain memburu kejuaraan UCL, pemain sayap berusia 18 tahun itu turut berharap dapat membantu Sepanyol mendominasi Piala Dunia 2026 nanti.
“Saya masih ada lagi dua impian yang belum tertunai iaitu menjuarai saingan UCL dan Piala Dunia. Ini adalah dua trofi yang saya mahukan musim depan,” katanya.
Pihak pengurusan Barcelona turut mengesahkan Yamal diberi jersi keramat nombor 10 pada musim depan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Ansu Fati selepas berhijrah secara pinjaman ke AS Monaco.
Kata Yamal, peluang untuk menyarung jersi No. 10 sama seperti bekas pemain legenda, Lionel Messi adalah penghargaan yang cukup istimewa.
“Sudah menjadi impian saya sejak kecil untuk menyarung jersi No. 10 Barcelona. Messi ada cara tersendiri untuk menjadi legenda sepanjang bersama Barcelona dan saya juga mahu memahat sejarah yang berbeza,” katanya.
Sebelum ini, Yamal telah menyarung empat nombor jersi berbeza sejak membuat debut pada 2022 dengan menggunakan No. 41, No. 27 dan No. 19. – AGENSI