PUTRAJAYA – Siasatan dijalankan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pelaksanaan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor meskipun undang-undang dan prosedur sedia ada telah ditetapkan.
Siasatan itu dibuat EAIC selepas menerima aduan berkaitan dakwaan kegagalan JAS Negeri Johor mengambil tindakan terhadap sebuah premis kitar semula yang beroperasi tanpa lesen sah di Kawasan Perindustrian Segamat.
Siasatan itu dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Menurut EAIC, siasatan mendapati bahawa semua premis yang diadukan memiliki lesen sah untuk beroperasi.
“Bagaimanapun, antara kelemahan yang dikenal pasti termasuklah keberkesanan hukuman dalam mencegah kesalahan berulang, ketidakseragaman dalam pelaksanaan garis panduan penguatkuasaan di peringkat negeri dan daerah serta kelewatan dalam pelaksanaan garis panduan kompaun yang telah dipinda,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Sehubungan itu, EAIC mencadangkan syor penambahbaikan untuk mempertingkat keberkesanan penguatkuasaan terhadap premis kitar semula khususnya di kawasan perindustrian Segamat.
“Antara syor itu termasuklah meningkatkan kadar hukuman bagi kesalahan berulang selain memperjelaskan dan menyeragamkan garis panduan penguatkuasaan di semua peringkat.
“Ia termasuklah melaksanakan dengan serta-merta garis panduan kompaun yang telah dipinda.
“EAIC turut mengesyorkan agar tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil oleh JAS terhadap premis-premis yang melanggar undang-undang alam sekitar.
“Penekanan harus diberikan kepada kesalahan berulang agar tidak berlaku kelonggaran dalam penguatkuasaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE