PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menasihatkan ahli-ahli politik untuk sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan, sekali gus tidak menutup ruang kerjasama pada masa depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, dalam konteks ini, setiap ahli politik tidak boleh bersifat terlalu ekstrim berikutan tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan.
“Dalam arena politik ini, kita perlu mengizinkan sebarang kemungkinan. Jangan tutup pintu, jangan putuskan hubungan, jangan terlalu sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada.
“Kerana kita tidak tahu apa takdir yang mendatang. Jadi, jangan terlalu ekstrim dan inflexible (keras pendirian), jangan terlalu jumud. Ke depan nanti, kita tidak tahu ketentuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Meja Pelaporan Media Selamat dan Sesi Latihan Interaktif: Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di sini hari ini.
Terdahulu, Dr. Dzulkefly dan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak akan bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.
Kenyataan Onn Hafiz itu kemudian dijawab sinis Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menjelaskan bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dengan DAP di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Fahmi turut membidas kenyataan Onn Hafiz berhubung pendirian BN Johor yang enggan bekerjasama dengan DAP pada PRN akan datang.
Mengulas perkara itu, Fahmi turut dilihat memberi peringatan supaya pemimpin politik lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Terlajak kata buruk padahnya,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE














