fbpx

KDNK Malaysia dijangka berkembang 4.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Anggaran awalan menunjukkan ekonomi Malaysia bertumbuh 4.5 peratus pada suku tahun kedua 2025, meningkat sedikit berbanding 4.4 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Katanya, momentum pertumbuhan terus kekal pada bulan April dan Mei, dengan jangkaan prestasi lebih kukuh dicatatkan pada Jun.

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana 4.4 peratus pada separuh tahun pertama 2025.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, perkembangan ekonomi didorong oleh permintaan pengguna yang kukuh, walaupun berdepan dengan cabaran global berterusan.

“Penggunaan domestik kekal sebagai pemacu utama, disokong oleh kesan pelarasan gaji sektor awam, cuti sekolah dan perbelanjaan bermusim semasa Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

“Pasaran buruh yang stabil dengan kadar pengangguran dan inflasi yang rendah turut mengukuhkan perbelanjaan isi rumah.

“Selain itu, pelaksanaan berterusan program bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut menyumbang kepada pengekalan perbelanjaan isi rumah sepanjang suku tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Sektor pembuatan menunjukkan prestasi yang pelbagai dengan pertumbuhan 5.6 peratus pada bulan April sebelum menyederhana kepada 2.8 peratus pada Mei, disumbangkan oleh aktiviti berterusan dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta permintaan kukuh daripada industri berorientasikan domestik.

Jualan perdagangan edaran, yang mencerminkan aktiviti pengguna dan perniagaan meningkat 4.4 peratus pada bulan Mei, mereda daripada 4.7 peratus pada April, terutamanya didorong oleh prestasi stabil dalam perdagangan borong dan runcit.

Sektor luaran pula menunjukkan prestasi yang bercampur dengan aktiviti perdagangan berkembang lebih perlahan pada bulan Mei disebabkan permintaan yang lemah bagi eksport barangan.

KDNK preliminari, yang menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi bagi suku tahun kedua 2025 akan diterbitkan pada 15 Ogos 2025. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI