fbpx
Konsisten derma darah sejak usia 18 tahun, Jeck Leng sifatkan dia berasa lebih sihat setiap kali melakukan derma darah dan kini pada usia 65 tahun dia tiada masalah penyakit dan cergas bermain pickleball.

Derma darah 581 kali, Jeck Leng tiada penyakit dan cergas di usia emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP dua minggu sekali menjadi rutin buat Chin Jeck Leng untuk berkunjung ke ke Pusat Darah Negara (PDN) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Tujuan wanita berusia 65 tahun itu ke situ adalah meneruskan amalan yang telah dilakukannya sejak hampir lima dekad lalu iaitu menderma darah.

Baginya menderma darah bukanlah sekadar satu amalan kesihatan, malah ia telah menjadi satu misi hidupnya.
Sehingga kini, dia telah menderma darah sebanyak 581 kali.

Malah, dia juga kini memegang gelaran wanita paling banyak menderma darah di Malaysia.

Pencapaian luar biasa yang dilakukannya itu telah membolehkan Jeck Leng menjadi salah seorang daripada empat penerima anugerah ‘Medal For Life’ yang telah menderma lebih 500 kali sepanjang hayat mereka sempena

Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 dan Sambutan Jubli Perak PDN yang diadakan baru-baru ini.

Anugerah yang diterimanya itu telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Mengulas tentang anugerah yang diterimanya itu, Jeck Leng berkata, dia amat gembira dan berbangga kerana dikurniakan anugerah tersebut.

Menurutnya, melalui anugerah tersebut, dia merasakan usaha yang dilakukannya selama ini dihargai oleh pihak kerajaan.

“Setiap dua minggu saya akan menempuh perjalanan dari rumah di Petaling Jaya, Selangor untuk datang ke PDN dan kemudian meluangkan masa hampir satu jam untuk menderma darah.

“Saya tidak meminta sebarang penghargaan apabila menderma darah, namun apabila diberi anugerah sebegini saya rasa diri ini benar-benar dihargai,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Tambahnya, dia akan meneruskan amalan menderma darah itu selagi boleh bagi membantu memastikan bekalan darah untuk kegunaan pesakit mencukupi.

Menderma darah merupakan satu amalan yang wajar diamalkan oleh kita semua.

DR. DZULKEFLY (dua dari kiri) menyampaikan anugerah ‘Medal For Life’ kepada Jeck Leng (dua dari kanan) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melalui amalan ini, kita dapat membantu mereka yang mengharapkan bekalan darah di saat memerlukan.

Jeck Leng sendiri mula tergerak hati untuk menjadi penderma darah apabila dia melihat ibunya berhadapan kesukaran untuk mendapat bekalan darah.

Menurutnya, pada usianya 12 tahun, ibunya ada menjalani pembedahan dan terpaksa merayu untuk mendapatkan bekalan darah gantian.

“Pada ketika itu, amalan menderma darah tidak seperti sekarang. Tak ramai yang rela untuk menderma.

“Oleh itu ibu saya terpaksa meminta bantuan jiran untuk mendapatkan darah yang bersesuaian,” jelasnya.

Namun bantuan itu bukan percuma kerana jiran itu meminta sedikit ganjaran untuk menderma darah.

Keluarganya perlu membayar hampir RM200 bagi mendapatkan darah untuk ibunya pada ketika itu.

Jeck Leng hanya melihat dari jauh dan dia mula bermonolog dengan diri sendiri serta mengatakan darah adalah percuma mengapa kita perlu menjual darah?

Sejak detik itu tertanam niat dalam dirinya untuk menjadi penderma darah seumur hidup, tanpa meminta sebarang ganjaran.

Apabila cukup umur pada usia 18 tahun, dia terus menderma darah.

“Apabila cukup umur, saya tidak perlu meminta kebenaran keluarga untuk menderma darah.

“Saya masih ingat saya menderma darah kali pertama pada satu kempen derma darah yang diadakan di Kolej Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada ketika itu,” terangnya.

Tambahnya, sejak detik itu dia terus menderma darah sehingga sekarang.

Disebabkan sering menderma darah, dia sudah menganggap PDN sebagai rumah keduanya.

Malah, ramai jururawat di PDN mengenalinya.

“Mereka semua kawan saya di sini.

“Malah saya tahu siapa yang cucuk tak sakit,” katanya sambil ketawa kecil.

Ketika mula menderma darah, dia menderma darah secara whole blood.

Derma darah whole blood adalah proses di mana penderma mendermakan darah mereka, kemudian ia diproses di makmal untuk menghasilkan komponen darah seperti sel darah merah, plasma, dan platelet.

Pendermaan darah secara whole blood ini disarankan dilakukan untuk tiga bulan sekali.

Kemudian Jeck Leng beralih kepada pendermaan secara aferesis sekitar tahun 1995.

Pendermaan aferesis adalah satu proses yang melibatkan penggunaan mesin aferesis di mana platelet dan plasma atau kedua-duanya akan dikumpulkan, manakala sel darah merah akan dipulangkan semula kepada penderma.

Seseorang penderma aferesis boleh menderma dengan kekerapan dua minggu sekali.

Jeck Leng menjelaskan, dia juga tidak terlepas daripada mendapat ‘kecaman negatif’ terutama daripada netizen di media sosial atas usaha murninya menderma darah.

Menurutnya, ramai yang mengatakan dia ‘penipu’ kerana menderma darah lebih 500 kali.

“Mungkin dalam hal ini mereka cuma faham tentang pendermaan darah secara whole blood sahaja yang boleh dilakukan empat kali dalam masa setahun.

“Mereka tidak mengetahui pendermaan secara aferesis di mana ia boleh dilakukan setiap dua minggu sekali,” katanya.

Tambahnya, melalui pendermaan secara aferesis membolehkan dia menderma darah lebih 500 kali.

Dia mengakui sedih apabila melihat di sosial media apabila ada pihak yang mengatakan dia menipu dalam pendermaan darah ini.

Tetapi Jeck Leng memaafkannya kerana dia mengetahui mungkin ramai lagi di luar sana yang masih tidak ada pengetahuan tentang pendermaan darah secara aferesis.

Dalam masa yang sama, tidak dapat dinafikan di luar sana masih ada mitos yang mengatakan pendermaan darah ini akan memudaratkan kesihatan.

Mengulas akan hal tersebut, Jeck Leng berkata, sepanjang dia menderma darah kesihatannya baik-baik sahaja.

Malah, dia langsung tiada masalah kesihatan dan merasakan dirinya lebih sihat.

“Setiap kali kita derma, badan kita hasilkan sel baharu dan saya rasa lebih sihat.

“Malah kini pada usia sebegini saya masih aktif bermain pickleball dan badminton yang membantu saya kekal cergas untuk terus menderma darah,” ujarnya.

Jeck Leng juga menitipkan pesan kepada mereka di luar sana untuk turut serta menjadi penderma darah kerana ia merupakan satu usaha murni yang mampu untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

“Kita tak tahu bila kita akan memerlukan darah.

“Hari ini kita menderma darah, mungkin esok kita pula yang menerima,” katanya.

Dia juga menekankan bahawa teknologi masih belum mampu mencipta darah.

Hanya manusia yang boleh membantu sesama manusia dalam hal ini.

Baginya, menderma darah adalah bentuk kasih sayang tertinggi kepada insan lain tanpa mengira siapa mereka.

Jeck Leng juga berazam untuk terus konsisten menderma darah selagi mana dirinya dibenarkan untuk berbuat demikian.

“Selagi saya sihat, saya akan teruskan.

“Ini adalah tanggungjawab saya,” ungkapnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN