NEW DELHI – Pengawal selia penerbangan India mengarahkan semua syarikat penerbangan negara itu untuk memeriksa suis kawalan bahan api di dalam pesawat Boeing milik mereka, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Pengumuman itu dibuat susulan nahas pesawat Boeing 787 milik Air India yang mengorbankan 260 orang, Jun lalu.
Direktorat Besar Penerbangan Awam (DGCA) berkata, arahan itu dikeluarkan selepas beberapa syarikat penerbangan India dan antarabangsa sudah mula melakukan pemeriksaan mereka sendiri.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat berkata semalam bahawa suis kawalan bahan api pesawat Boeing adalah selamat.
Namun, isu keselamatan suis itu menjadi titik kebimbangan utama selepas laporan awal nahas Air India mendapati suis bahan api enjin pesawat terbabit dimatikan beberapa saat selepas penerbangan berlepas.
Nahas Penerbangan 171 menuju London itu merupakan salah satu insiden penerbangan paling buruk di dunia dalam tempoh hampir satu dekad.
Sejak penerbitan laporan awal Sabtu lalu, beberapa pihak berkepentingan berbeza di India dan antarabangsa telah mengambil tindakan serta mengeluarkan kenyataan sebagai tindak balas terhadapnya.
Dalam perintahnya, DGCA India meminta pemeriksaan dijalankan menjelang 21 Julai ini.
Ia menyatakan, ‘pematuhan ketat kepada garis masa adalah penting untuk memastikan kelayakan udara dan keselamatan operasi yang berterusan’.
Air India tidak melakukan pemeriksaan tersebut sebelum ini kerana ia tidak diwajibkan, kata Biro Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) dalam keputusan siasatan awalnya. – AGENSI