TAPAH – Kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios yang menyebabkan dua lelaki warga China maut sementara seorang lelaki tempatan cedera berlaku ekoran kereta itu mengelak sebuah lori yang menukar haluan secara tiba-tiba di Kilometer 316.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini pada pukul 8.53 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Johari Yahya berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu dan penumpang Toyota Vios dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur.
“Pemandu yang memandu di lorong kanan jalan itu cuba mengelak sebuah lori yang menukar haluan secara tiba-tiba.
“Dua mangsa iaitu penumpang hadapan dan penumpang belakang mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan maut di lokasi kemalangan, manakala pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian leher, kaki dan tangan” katanya hari ini.
Jelasnya, dua mangsa maut yang dipercayai berasal dari Guandong, China telah dihantar ke Hospital Tapah bagi proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis sedang mengesan saksi-saksi di lokasi kejadian.
“Selain itu, video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) Toyota Vios diambil untuk siasatan kes,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE