PETALING JAYA – Pelakon popular Korea Selatan, Lee Min Ho berdepan detik pilu apabila anjing peliharaannya yang dinamakan Choco menghembuskan nafas terakhir.
Menerusi satu hantarannya Instagram, bintang drama The Heirs itu berkongsi kesedihan atas kehilangan haiwan kesayangan yang telah menemaninya selama 16 tahun.
“Anjing kesayangan saya, Choco telah meninggal dunia selepas 16 tahun kami bersama. Saya berharap masa yang saya luangkan dengannya dipenuhi kebahagiaan.
“Terima kasih kepada semua yang telah menyayangi Choco,” katanya.
Dalam hantaran tersebut, aktor yang berusia 38 tahun itu turut berkongsi beberapa foto kenangan bersama anjing peliharaannya, Choco sebagai tanda hubungan erat mereka.
Sementara itu, Lee Min Ho bakal kembali ke layar perak menerusi filem terbaharunya Omniscient Reader: The Prophecy yang akan ditayangkan pada 23 Julai 2025.
Filem tersebut merupakan kemunculan semula beliau dalam dunia perfileman selepas beberapa tahun terlibat dengan projek drama dan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE