SHAH ALAM – Belum lagi pulih daripada trauma diserang Amy Search, penyanyi Shila Amzah mendedahkan dia bakal sepentas lagi dengan penyanyi legenda itu dalam sebuah majlis yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Namun kata Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah 35, sebagai penyanyi yang sudah lebih dua dekad menghambakan diri sebagai anak seni, dia akan sentiasa bersikap profesional.
“Saya seorang yang profesional. Saya tak pernah ada masalah dengan sesiapa sepanjang 25 tahun bergelar penyanyi. Perkara sebegini tidak pernah sama sekali terjadi dalam hidup saya.
‘Klien berhak memilih siapa artis yang mereka akan undang. Saya tak boleh nak letak syarat kalau ada saya tak boleh ada dia. Industri kita kecil sahaja. Kita sendiri kena pandai jaga diri.
“Cuma kita mungkin minta pihak klien untuk pastikan keselamatan terjaga. Atau mungkin kita sendiri yang akan sediakan pengawal peribadi,” katanya ketika ditemui pada konsert minggu keempat Raise The Star Malaysia, di sini, semalam.
Ditanya bagaimana situasi ketika konsert baru-baru, kata pelantun lagu Patah Seribu itu, dia langsung tidak bertembung dengan Amy.
“Sewaktu hari konsert berlangsung, ada pengawal keselamatan serta polis yang mengawal keadaan. Jadual juga diubah untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.
Khamis lalu Shila mendedahkan dia ‘diserang’ oleh Amy sewaktu sedang membuat konsert di Stadium Merdeka.
Terkesan dengan kejadian tersebut sehingga mencetuskan ‘anxiety’, Shila melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis dan polis mengesahkan telah menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.
Sehingga kini pihak Amy masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu ini. – KOSMO! ONLINE