KUCHING – Mayat seorang lelaki warga emas yang sudah mereput ditemukan dalam keadaan terduduk di lantai ruang tamu sebuah rumah dua tingkat di kawasan Jalan Kempas, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, penemuan mayat si mati yang berusia dalam lingkungan 60-an itu dibuat susulan aduan daripada orang awam yang terhidu bau busuk dari rumah terbabit, kira-kira pukul 12.05 tengah hari semalam.
“Mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa adalah tinggal bersendirian.
Justeru, Alexson meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Ketua Balai Polis Sekama ASP Simon Renang di talian 016-8547803 dan Balai Polis Sekama di talian 082-332522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Katanya kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE