SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pernah menasihati penganjur program motivasi rumah tangga eHATI pada tahun 2022 susulan aduan yang dibuat bekas peserta.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, aduan yang diterima tersebut mengaitkan eHATI dengan beberapa isu yang disifatkan adalah tidak wajar dan tidak sesuai menjadi sebahagian modul dalam program motivasi rumah tangga itu.
Katanya, JAIS pernah memanggil individu terlibat pada tahun 2022 dan menasihati mereka mengenai perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan.
“Berdasarkan aduan itu, penganjur eHATI telah dipanggil oleh Panel Pendengaran di bawah Jawatankuasa Pengawalan Akidah, Majlis Agama Islam Selangor dan telah diminta mengubah beberapa modul agar menepati syarak,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat diperoleh mengenai kejadian yang berlaku di sebuah pusat konvensyen di sini pada September tahun lalu itu menunjukkan segala nasihat telah diingkari.
“Aktiviti ini telah lama dalam pengetahuan JAIS, namun mereka masih mengingkarinya meskipun telah ditegur dan dinasihat.
“Hari Selasa ini, kita akan panggil beberapa orang berkaitan. Selain itu, kalau benar pengurusan pusat konvensyen terlibat, kita akan siasat siapa yang memohonnya,” katanya.
Menurutnya, JAIS akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atas kesalahan doktrin palsu kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan hukum syarak.
Berdasarkan enakmen itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau enam sebatan.
Ketika ditanya mengenai perbuatan itu melibatkan ajaran sesat, Mohd. Shahzihan berkata, setakat ini tidak menjurus ke arah tersebut.
“Apa itu sesat? Cuma dia tidak kata itu adalah dari agama Islam sahaja. Namun perbuatan tersebut sesat dan penyimpangan dari Islam sebenar.
“Kalau dia memulakan dakwaan bahawa ini adalah anjuran Nabi Muhammad atau cara paling menenangkan serta sebagainya, kita boleh ambil tindakan di bawah ajaran sesat,” katanya.
JAIS berharap dan memohon kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang program eHATI agar dapat menghubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, JAIS di talian Hotline 1800-88-2424 atau hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran eHATI adalah program persendirian dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.
“Laporan baru diterima dan saya minta JAIS siasat dan ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival Turath Islami 2025 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim pula berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung penganjuran program itu selepas pihaknya menerima laporan pada akhir Februari lalu.
Katanya, laporan dibuat seorang ejen insurans berusia 39 tahun yang juga suami kepada salah seorang peserta program itu.
“Pada hari ini (semalam), kita telah panggil isteri pengadu beserta saksi-saksi lain di tempat kejadian untuk diambil keterangan,” katanya.
“Polis telah memaklumkan kepada JAIS untuk turut hadir. Pihak kami nak sahkan beberapa perkara dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada tindakan dilakukan pihak kami atau JAIS,” katanya.
Justeru, beliau meminta mana-mana saksi agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Anuar Amilah di talian 019-225 5597 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pendedahan seorang bekas peserta berhubung program tersebut yang didakwa songsang apabila diselitkan dengan acara yang mencolok mata di sebuah pusat konvensyen di sini pada September tahun lalu.
Wanita itu mendakwa eHATI berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta suami isteri dan motivasi kepada wanita terutama mereka yang mempunyai masalah dalam rumah tangga.
Program itu diadakan secara tertutup hanya untuk peserta.














