fbpx

Kemalangan serius: Lesen PSV pemandu bas boleh digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTHONY merasmikan Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di tapak projek Terowong Genting Jalan Lama Bentong-Karak di Bentong, hari ini.

BENTONG – Kementerian Pengangkutan menegaskan tindakan menggantung Lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV) terhadap pemandu yang terlibat dalam kemalangan serius tidak dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas siasatan menyeluruh dilaksanakan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, langkah itu bukan bertujuan untuk menghukum secara sembarangan, sebaliknya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.

“Kalau didapati melakukan kesalahan serius, lesen PSV boleh digantung, bukan lesen memandu mereka. Tetapi hanya selepas siasatan lengkap dilakukan,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di tapak projek Terowong Genting Jalan Lama Bentong-Karak di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain penggantungan lesen, pemandu juga diwajibkan menjalani kursus semula atau ‘refresher course’ sebelum dibenarkan kembali memandu.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung lesen PSV pemandu yang terlibat dalam kemalangan serius, selain mewajibkan mereka menjalani kursus semula bagi mendidik dan melatih semula sebelum dibenarkan kembali memandu.

” Langkah baharu itu dijangka mempercepat proses disiplin, berbanding tindakan penggantungan lesen yang dilakukan selepas pemandu disabitkan kesalahan di mahkamah. Proses itu mengambil masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata, syarikat pengendali bas juga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengurusan keselamatan.

“Syarikat bas ini, terpulang sama ada SOP mereka perlu diaudit. Kalau SOP keselamatan tidak dipatuhi, maka lesen juga boleh digantung,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI