SUNGAI BULOH – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat ibu kandungnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada pukul 1.07 pagi semalam.
Katanya, Nur Aliesya Haziera Wan Mohd. Saharudin dikatakan keluar dari rumah di Puncak Alam pada pukul 6.15 petang, 10 Mei lalu dan tidak pulang sehingga kini.
“Remaja itu mempunyai ketinggian 156 sentimeter, berat 42 kilogram, berbadan kurus dan tinggi, rambut lurus paras bahu, berwajah bujur dan mata hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pakaian terakhir mangsa bagaimanapun tidak dapat disahkan oleh keluarganya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd. Hizam Talib di talian 012-6550262. – KOSMO! ONLINE