KEJOHANAN Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2025 (National 7’s) minggu depan bakal menjadi pentas penentu buat pemain-pemain negara merebut tempat ke Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok dijadualkan pada Disember depan.
Setiausaha Agung Kehormat Ragbi Malaysia (MR), Fahmy Jalil berkata, kejohanan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail dan Kuala Terengganu itu akan menjadi medan pemilihan terakhir sebelum nama diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Menurutnya, senarai panjang membabitkan 30 pemain lelaki dan wanita telah dihantar kepada MOM, namun ia perlu dikecilkan kepada hanya 17 nama bagi setiap skuad menjelang tarikh akhir pendaftaran pada 1 September depan.
“National 7’s kali ini bukan sekadar kejohanan tahunan, ia menjadi medan penting kepada ketua jurulatih lelaki, Nik Safuan Ismade Nik Man dan jurulatih wanita, Mohd Faiz Samsukhidir dalam menilai prestasi sebenar pemain.
“Semua pemain akan beraksi mewakili negeri masing-masing dan tiada jaminan mana-mana individu terpilih secara automatik. Mereka perlu buktikan di padang,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MOM semalam.
Fahmy menjelaskan, pihaknya turut mengambil keputusan tidak membenarkan penyertaan import dalam edisi kali ini bagi memberi keutamaan kepada pembangunan pemain tempatan selaras kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN).
Sebanyak 41 pasukan akan bersaing dalam empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 21 tahun dan Wanita Bawah 21 tahun.
National 7’s turut dijadikan medan pemanas badan menjelang Kejohanan Siri Ragbi Asia di Hangzhou, China pada September dan Colombo, Sri Lanka (Oktober) sebelum ke Sukan SEA.
Dalam perkembangan sama, Piala Agong edisi ke-41 turut dilancarkan dengan 10 negeri bakal berentap termasuk juara bertahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan naib juara Johor, manakala Putrajaya serta Negeri Sembilan kekal digantung penyertaan atas masalah teknikal.