fbpx

Superman: Reboot selayaknya, siratan harapan demi ‘Palestin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
David Corenswet melunaskan karakter Clark Kent atau Superman penuh jaya dan acuan tersendiri.

DAVID Corenswet sebagai Clark Kent adalah pilihan tertuju atau dialamatkan paling tepat DC Studios buat peminat Superman.

Penulis tidak langsung berdepan masalah ‘menghadam’ reboot Superman dikepalai sutradara James Gunn yang mula ditayangkan di pawagam bermula 10 Julai 2025.

Naskhah adiwira yang turut dibintangi pelakon lain seperti Rachel Brosnahan, Nicholas Hoult dan Edi Gathegi itu memberi dimensi baharu segar-bugar buat jenama Superman yang sememangnya sediakala kukuh sejak diperkenalkan 1948.

Dari segi plot, Superman tetap berada di landasan sebenar—tidak tercicir daripada komik asal. Itu yang membuatkan terjemahan kali ini cukup mahal.

Ia memberi peringatan kepada dunia sememangnya, Clark Kent antara hero kesayangan dunia dan perihal tersebut dipelihara serta diluhur penuh wibawa.

Terjemahan karakter David Corenswet sebagai Clark Kent atau Superman cukup luar biasa dan penuh karisma tersendiri.

Superman ‘sedikit lari’ daripada tema dark atau edgy seperti dipraktikkan dalam filem terdahulu belakangan ini dan itu bukan satu perkara yang mengecewakan.

Penulis tidak terganggu dengan ‘cemuhan’ sebilangan peminat kononnya Superman seperti terikut-ikut pendekatan Marvel Cinematic Universe (MCU).

Tak edgy, dark

Dakwa sebilangan peminat, Superman kali ini seperti dibikin ‘pasukan’ MCU sedangkan, apa-apa sahaja filem adiwira berhak bermain dengan lelucon mahupun grading warna ‘terang’ seperti yang selalu disinonimkan dengan produk Marvel.

Untuk itu, tepukan di belakang bahu James Gunn kerana berani memberikan pembaharuan terhadap jenama Superman tanpa perlu merubah terlalu banyak perkara demi kelangsungan kisah adiwira kesayangan ramai.

Selain plot, antara elemen lain yang membuatkan penulis berpuas hati kali ini adalah mencakupi aspek terjemahan karakter, visual dan mesej tersirat dalam Superman.

Selain Corenswet yang melunaskan karakter Superman cukup meninggalkan dampak, watak-watak sokongan lain juga tidak terkecuali luar biasanya.

Karakter-karakter penting lain seperti Green Lantern, Mister Terrific, Hawkgirl dan Metamorpho dijayakan seadil-adilnya barisan pelakon terlibat sekali gus membentuk pakatan Justice Gang yang kian membara dalam jiwa para penggemar produk DC.

Watak-watak sampingan adiwira lain seperti Green Lantern (kiri), Mister Terrific, Hawkgirl (tengah) juga tidak menghampakan dan selari dengan jalur komik DC asal.

Dalam pada itu, villain utama dalam Superman iaitu Lex Luthor memberi impak tersendiri dalam jiwa penonton. Berkepala botak, penuh kedengkian dan ‘obses’ dengan kepahlawanan makhluk asing bernama Superman, semua elemen itu dicernakan cemerlang pemeran watak terbabit, Nicholas Hoult.

Visual, mesej tersirat

Dari segi visual, filem ini sememangnya banyak bermain dengan teknik janaan komputer (CGI) dan apa dipaparkan di layar perak, tidak langsung menghampakan atau ‘memeningkan’ kepala. Syabas buat sinematografer, Henry Braham.

Masih berbekas dalam minda adegan-adegan ‘mind-blowing’ Superman terperangkap dalam portal galaksi poket dan bagaimana dia berjaya keluar dari dunia buatan Luthor itu bersama semangat orang-orang sekeliling.

Antara aspek signifikan lain yang membuatkan penulis tabik spring terhadap jenama Superman kali ini adalah kepedulian tersirat kepada kebobrokan yang kian terjadi kepada dunia.

Sedikit berbaur politik, Superman turut ‘meniup’ semangat keamanan kepada dunia, hal itu terlihat daripada kepincangan di sempadan Bovaria yang sepertinya memberi simbolik terhadap pergolakan terbesar dunia sekarang melibatkan Palestin.

Superman juga menyelitkan mesej dan nilai manusiawi buat negara yang sering menjadi mangsa penindasan secara tersirat. | WARNER BROS. PICTURES

Bukan secara tersurat, namun kalau dihadam dengan penuh rasa kepedulian, itu yang cuba disampaikan pengarah terhadap apa yang sedang berlaku kepada dunia gara-gara satu bangsa yang penuh sifat ketamakan.

Superman satu naskhah wajib tonton yang tidak layak dilepaskan penggemar sinema—sama ada kalian tonton naskhah ini di pawagam atau ketinggalan menyaksikan reboot adiwira markah cemerlang tertinggi (A+).

SUPERMAN 
Pengarah: James Gunn
Pelakon: David Corenswet, Rachel Brosnahan, Isabela Merced, Edi Gathegi
Tayangan: 10 Julai 2025
Durasi: 2 jam 10 minit
Bintang: ★★★★
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI