TANAH MERAH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui terkejut dengan statistik yang menunjukkan Kelantan terus menjadi negeri tertinggi dalam penyalahgunaan dadah di negara ini.
Menurutnya, statistik tersebut diperoleh daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Terengganu, Kedah dan Perlis turut mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah yang membimbangkan.
“Ini merupakan tanggungjawab bersama antara Kerajaan Pusat dan negeri. Semua pihak mesti main peranan, bukan lepas tangan dan anggap ini masalah orang lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Tanah Merah di sini hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, meskipun kesemua negeri terlibat berbeza daripada aspek warna pentadbiran politik, perkara itu perlu diketepikan.
Menurutnya, semua pihak perlu main peranan termasuk Kerajaan Pusat, negeri dan seluruh agensi dalam membendung kes-kes dadah.
“Siasatan mendapati, dadah jenis sintetik yang diseludup masuk ke negara ini melalui jalan air.
“Selain itu, Malaysia turut disahkan sebagai transit dadah dan kerajaan mahu perkara dibendung sebaik mungkin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE