fbpx
CHONG WEI bimbang dengan situasi terkini kem perseorangan badminton negara.

Badminton ketandusan pelapis pemain single

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI SEBALIK kegemilangan yang sedang dikecapi oleh beregu negara, kem perseorangan lelaki badminton Malaysia kini berdepan dengan satu realiti yang membimbangkan.

Legasi yang dibina selama berdekad-dekad itu kini berisiko terkubur sekiranya tiada tindakan drastik diambil bagi menangani krisis pelapis.

Amaran itu datang daripada Datuk Lee Chong Wei yang suatu ketika dahulu menjadi simbol keunggulan Malaysia di gelanggang dunia.

Menurut beliau, amat membimbangkan apabila skuad senior di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini hanya mempunyai empat pemain sepenuh masa.

Keadaan bertambah rumit apabila Ng Tze Yong terpaksa berehat untuk tempoh yang panjang bagi menjalani pembedahan.

Beban kini terpaksa digalas oleh pemain muda seperti Leong Jun Hao, Justin Hoh, dan Eogene Ewe, yang memerlukan masa dan pendedahan untuk matang sepenuhnya.

“Semua orang risau. Pemain senior kita hanya tinggal tiga orang sahaja yang aktif, sebab seorang lagi (Tze Yong) cedera.

“Waktu saya dahulu, kita ada 14 hingga 16 pemain, tapi sekarang saya lihat kita hanya ada empat. Saya sendiri pun terkejut,” katanya.

Walaupun kebergantungan kepada Lee Zii Jia adalah satu strategi yang amat berisiko tinggi.

Dalam pada itu, Chong Wei mempertahankan ketua jurulatih perseorangan, Kenneth Jonassen dan menegaskan pengendali dari Denmark itu tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya.

Menurut Chong Wei, Kenneth seolah-olah ‘mewarisi sebuah rumah yang kosong’ dan memerlukan masa serta bahan mentah yang berkualiti untuk membina skuad semula.

“Saya harap Kenneth (Jonassen) akan bekerja, bukan setakat bekerja keras, tapi sangat-sangat keras. Saya dah beritahu Kenneth, kena cari lebih ramai pemain perseorangan.

“Saya harap kita dapat sekurang-kurangnya 10 pemain. Apapun, kita tak boleh beri tekanan kepada Kenneth, sebab masa dia datang, memang kita sudah tiada pemain perseorangan.

“Kita kena beri dia masa untuk hasilkan sesuatu. Kenneth memang seorang jurulatih yang sangat profesional. Saya sendiri ada berbincang dan bertukar pandangan dengan dia. Tapi, sekali lagi, kita kena beri masa. Dia datang ketika skuad kita sudah kekurangan,” ujarnya.

Pandangan Chong Wei itu turut disokong oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky, yang menekankan bahawa proses membina pemain elit bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata.

Menurut Rexy, yang sentiasa bertukar-tukar pandangan dengan Kenneth, perbezaan budaya kejurulatihan antara Eropah dan Asia memerlukan masa untuk penyesuaian.

“Sebenarnya, sebagai jurulatih, kalau kita tidak cabar diri sendiri, kita tiada motivasi. Kenneth baru enam bulan di sini. Ini satu proses yang bukan seperti kita balik tangan, terus jadi. Ada pemain yang boleh faham cepat, ada yang perlukan masa.

“Saya selalu berbincang dengan Kenneth. Walaupun di beregu, kita saling bertukar fikiran tentang apa yang boleh diperbaiki. Tiada tekanan, tetapi kita beri masa untuk proses itu berjalan.”

Menyusuri punca masalah, Chong Wei percaya sekiranya ‘kilang-kilang’ yang dahulunya aktif melahirkan bakat di peringkat negeri kini memainkan peranan tidak mustahil BAM mampu memiliki ramai pemain pelapis di sektor tersebut.

Beliau meletakkan sasaran untuk mempunyai sekurang-kurangnya 10 orang pemain perseorangan lelaki yang berkualiti dalam skuad kebangsaan bagi mewujudkan semula persaingan dalaman yang sihat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN