KUANTAN – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas ketika memancing bersama tiga rakannya di sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Bandar Indera Mahkota, di sini, malam semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.21 malam sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi kira-kira pukul 8.36 malam, pihak bomba dimaklumkan oleh polis bahawa terdapat seorang remaja dipercayai hilang selepas terjatuh ke dalam sungai.
“Mangsa dikenali sebagai Muhammad Isyraf Danish Razmi berusia 15 tahun, dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika sedang memancing bersama tiga rakannya,”katanya di sini hari ini.
Katanya setakat 10 malam semalam mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian diteruskan mengikut prosedur ditetapkan hari ini. – KOSMO! ONLINE