SEOUL – Di selatan Pulau Jeju, jauh dari resort percutian dan pantai tumpuan pelancong, sebuah kediaman ringkas di pinggir perkampungan nelayan menawarkan santuari rohani kepada pekerja asing beragama Islam, lapor portal berita Arab News semalam.
Kediaman itu mempunyai ruang bersih dihiasi karpet yang dijadikan sebuah surau kecil sebagai tempat istirahat dan solat untuk orang islam.
Ruang solat itu merupakan inisiatif Nasir Hong-suk Seong, 35, seorang penternak ikan berasal dari Korea Selatan. Dia mengambil langkah murni mengubah suai sebahagian kediamannya menjadi surau.
Ruang berkarpet dan bercahaya lembut itu menjadi tempat umat Islam di pulau terpencil Korea Selatan untuk mendirikan solat, berehat dan merasa dihargai.
Dikenali sebagai ‘Hawaii Korea Selatan’, Pulau Jeju lebih sinonim dengan keindahan gunung berapi dan pantai yang memikat pelancong berbanding tenaga kerja asing.
Namun, di sebalik tarikan semula jadinya, ekonomi pulau itu kini semakin bergantung kepada tenaga buruh asing kebanyakan mereka lelaki Muslim dari negara Indonesia, Pakistan dan Sri Lanka.
Wilayah Jeju melaporkan kehadiran seramai 3,567 pekerja asing sepanjang tahun 2024.
Seong juga menganggarkan bahawa kira-kira 1,500 daripada mereka bekerja di sekitar 300 ladang tenakan ikan di wilayah itu, dengan hampir separuh beragama Islam. – AGENSI