ERA kegemilangan bola sepak Kelantan antara 2008 hingga 2014 lalu menyaksikan satu gelombang yang dianggap paling unik dalam bola sepak Malaysia menerusi ‘kegilaan’ yang ditunjukkan oleh para peminat mereka.
Peluang bertugas di negeri itu dalam tempoh berkenaan membolehkan penulis melihat sendiri bagaimana bola sepak Kelantan menempuh suka duka termasuk insiden rusuhan penyokong sehinggalah The Red Warriors mengecap puncak kegemilangan.
Antara momen yang tidak boleh dilupakan apabila sempat menemu bual peminat dari Gua Musang yang bertolak pukul 4 pagi menempuh perjalanan hampir 300 kilometer untuk mendapatkan tiket dikaunter yang dibuka pukul 9 pagi bagi menonton perlawanan hari yang sama.
Dianggap sebuah negeri yang tidak banyak peluang berhibur, maka orang Kelantan dianggap menggilai bola kerana itu sahaja hiburan yang mereka ada, tetapi stigma itu tidaklah sebetulnya begitu.
Namun, orang Kelantan juga terkenal dengan kebijaksanaan memilih, andai pengurusan baik, prestasi pemain bagus, sebut sahaja berapa harga tiket mereka sanggup bayar untuk menyaksikan perlawanan, tapi jika semua itu gagal dihidangkan, masuk percuma pun mereka tidak akan pergi ke stadium.
Berita kepulangan figura bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa seakan memberi percikan harapan baharu untuk saingan musim depan ketika Kelantan The Real Warriors (TRW) bakal beraksi dalam saingan Liga Super, manakala dua lagi pasukan di Liga A1 serta satu kelab di Liga A2.
Peminat bola sepak Kelantan yang sejak sekian lama ‘tidur’ kembali terjaga dan mula bersiap sedia untuk kembali ke stadium menjalankan ‘tugas’ mereka.
Beberapa perlawanan melibatkan bekas pemain sebelum ini bolehlah dianggap sebagai aksi ‘pemanas badan’ untuk para peminat supaya mereka kembali membiasakan diri dengan ‘burger atau kacang’ stadium sebelum musim sebenar bermula.
Di Kelantan, menarik peminat kembali ke stadium tidaklah terlalu sukar, kalau pun bukan menang, paling tidak mampu memberikan aksi melawan yang baik, maka sorakan automatik menjadi suatu yang percuma.
Annuar dalam kenyataan sebelum ini memberikan tempoh tiga tahun untuk pasukan negeri itu kembali berada dalam kelompok empat terbaik, suatu yang masih boleh dianggap realistik.
Beban yang terpaksa dipikul pengendali Kelantan TRW, E. Elavarasan yang baru dilantik tidaklah mudah kerana perlu segera mencari gear yang sesuai untuk memastikan pasukan itu kembali mencabar walaupun untuk menandingi Johor Darul Ta’zim itu mungkin dianggap keterlaluan.
Bagaimanapun, pesanan untuk pihak pengurusan adalah supaya sentiasa ‘berpijak di bumi nyata’, kebajikan pemain perlu jadi keutamaan, gaji tidak boleh tertunggak dan seraplah sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh ‘team’ sebelum ini untuk subjek menguruskan pasukan bola sepak.















