SAUDARA PENGARANG,
Peniaga durian tumbuh seperti cendawan selepas hujan ketika ini sama ada di tepi jalan, kawasan tumpuan atau deretan rumah kedai.
Musim durian memang ditunggu-tunggu oleh peminatnya yang mempunyai wang kerana seperti kita sedia maklum ia bukannya buah biasa-biasa.
Orang ada duit sedikit boleh beli durian kampung atau kahwin tetapi yang ada duit banyak boleh rasa musang king, tupai king, duri hitam, udang merah dan lain-lain jenis kacukan.
Itu rezeki masing-masing. Apa yang saya tidak puas hati mengenai sesetengah peniaga durian ialah mereka menggunakan taktik keji untuk menarik orang datang ke gerainya.
Iklan di media sosial seperti Facebook atau Tiktok menunjukkan sedang membuat pelbagai promosi kononnya harga menjunam kerana buah tengah banyak tetapi apabila kita sampai, boleh pula dia kata durian promosi sudah habis.
Apa yang tinggal hanyalah buah premium dengan harga RM30 Sekilogram dan ke atas. Bufet durian entah ke mana, duit kita pula kena ‘rompak’.
Ada pula yang sengaja tidak turunkan tanda harga ‘empat biji musang king RM100’ tetapi apabila kita sudah ambil, peniaga kata itu masa sedang bersiaran langsung sahaja dan bukannya di kedai.
Berniagalah dengan jujur kerana rezeki itu dudah ditentukan sejak azali. Setiap tahun buat taktik yang sama. Insaflah wahai peniaga durian.
Pihak berkuasa diminta memantau perangai peniaga sedemikian untuk mengelakkan pelanggan ditipu melalui kaedah iklan yang meragukan.
Itu belum lagi ada sebahagian peniaga di tepi jalan yang tidak meletakkan tanda harga.
HAJAT TERTANGGUH,
Lembah Pantai















