KUANTAN – Peniaga tempoyak ikan patin di Temerloh menegaskan harga bagi setiap hidangan dijual adalah berpatutan kerana setiap pelanggan akan mendapat seketul ikan seberat kira-kira 400 gram.
Pengurus Gerai Patin Pak Usop, Mohammad Alimi Adnan, 50, berkata, pada masa ini dia menjual hidangan seketul tempoyak ikan patin pada harga RM20, iaitu harga standard berdasarkan kadar diberikan oleh pembekal di daerah titik tengah Semenanjung itu.
Mohammad Alimi yang berpengalaman selama 30 tahun menjual hidangan tempoyak ikan patin memberitahu, harga dikenakan adalah berbaloi kerana dia akan memastikan seekor ikan dipilih untuk masak patin tempoyak adalah seberat 1,200 gram yang dipotong tiga.
“Selain harga bekalan ikan daripada pembekal, faktor saiz seketul ikan juga mempengaruhi harga jualan tempoyak ikan patin di daerah ini.
“Kami akan sentiasa pastikan berat seketul ikan patin kira-kira 400 gram bagi memastikan pelanggan puas makan,” katanya yang mengulas mengenai dakwaan hidangan tempoyak ikan patin di Lembah Klang lebih murah berbanding di Temerloh.
Terdapat kedai di Pahang yang menjual tempoyak kepala ikan patin pada harga RM24 seketul, sedangkan di Lembah Klang harga serendah RM18 seketul.
Dalam pada itu, Mohammad Alimi mendakwa, terdapat peniaga makanan popular Pahang itu yang dikesan memotong seekor ikan kepada lima bahagian supaya setiap hidangan dapat dijual murah bagi menarik perhatian pelanggan.
“Setahu saya macam itulah, maknanya based on beratlah, kalau kamu beli RM20 sekilogram tetapi potong lima, (berat) seketul jatuh dalam 150 hingga 250 gram, baru berapa ringgit modal, bolehlah (peniaga) jual RM15, bolehlah jual RM17 (bagi seketul ikan patin),” dakwanya.
Selain itu, Mohammad Alimi meminta peminat tempoyak ikan patin memastikan sumber ikan tersebut adalah dari Temerloh kerana terdapat maklumat diterimanya menyatakan jumlah pengeluaran patin sangkar di sini tidak mencukupi bagi menampung permintaan seterusnya membolehkan ikan itu dijual murah.
“Betul ke dari Temerloh (bekalan patin dijual di Lembah Klang), cuba buktikan betul-betul dari Temerloh atau tidak.
“Sebab Temerloh ini harga memang standard, tetapi kalau dia (peniaga di Lembah Klang boleh jual murah Alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, pemilik Restoran Tok Gajah, Abdul Rahman Ibrahim, 72, berkata, harga tempoyak ikan patin di Temerloh adalah munasabah dan mengikut kos sebenar industri ternakan patin di daerah itu.
Katanya, setakat ini, pelanggan dalam dan luar termasuk dari Lembah Klang masih setia datang ke restorannya bagi menikmati keenakan juadah masakan ikan patin Temerloh.
“Kalau ada orang dakwa harga di Lembah Klang murah sangat, itu sekadar polemik murahan kerana patin sangkar di Sungai Pahang bukan murah untuk diternak kerana ia perlukan penjagaan dan kos yang tinggi.
“Alhamdulillah pelanggan tetap setia kerana mereka tahu rasa sebenar patin tempoyak Temerloh yang tidak boleh ditiru,” ujarnya.













