fbpx

Sindiket sedia servis bilik karaoke, berhibur sambil lalok dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMAR menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh BAZLAN IBRAHIM / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Sindiket dadah yang menyediakan bilik karaoke khas untuk pelanggannya berhibur sambil khayal tumpas apabila sembilan suspek termasuk dalang ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 20 dan 21 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, serbuan dijalankan itu melibatkan tiga premis apartmen yang disewa kumpulan sindiket yang telah beroperasi sejak Mac lalu.

Menurut beliau, suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita tempatan, seorang lelaki Singapura, dua perempuan Vietnam dan seorang perempuan Laos berusia antara 21 hingga 64 tahun.

“Modus digunakan sindiket ini adalah selain jualan secara “online’, mereka juga menyediakan bilik khas dengan set karaoke untuk pelanggan berhibur sambil khayal dadah.

“Difahamkan perkhidmatan karaoke itu disediakan percuma kepada pelanggan. Manakala dadah paket kecil dijual pada harga RM150, serta dadah campuran paket 1 kilogram dijual RM5,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah Kumar, dua daripada tiga premis diserbu telah diubah suai bagi tujuan tersebut, dengan dua premis berkenaan terletak di tingkat sama dan bangunan sama bagi memudahkan kegiatan itu.

“Dalam operasi berkenaan, kita merampas pelbagai dadah iaitu serbuk ekstasi; syabu; ketamin; pil eramin 5; pil Yaba serta 33 mililiter cecair dipercayai dadah bernilai keseluruhan RM1.72 juta.

“Kita turut merampas pelbagai alat memproses dan membungkus dadah, dua kenderaan, wang tunai serta barangan kemas bernilai RM190,205,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI