PETALING JAYA – Komitmen menjaga kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini turun padang menyantuni penduduk Kampung Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang, selepas insiden kebakaran yang memusnahkan 23 premis di kampung itu baru-baru ini.
Katanya, lawatan tersebut bukan sahaja bertujuan meninjau kesan kebakaran, malah menjadi ruang untuk menyampaikan sumbangan awal kepada keluarga-keluarga yang terjejas.
“Sayu melihat kesan kebakaran yang memusnahkan 23 premis di kampung ini. Namun di sebalik duka, saya turut melihat semangat yang kuat dalam diri mereka untuk bangkit semula membina kehidupan.
“Kita usahakan bantuan segera bagi meringankan beban mereka, dan Alhamdulillah, sumbangan awal telah dapat disampaikan kepada keluarga-keluarga yang terlibat,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Tambah beliau, pasukannya akan terus menyalurkan bantuan secara berperingkat serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan bagi mempercepat proses pemulihan.
“Insya-Allah, selagi diberi amanah, saya dan pasukan akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat Bagan Datuk terpelihara,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 23 buah premis termasuk rumah, kedai makan dan tokong musnah terbakar dalam kebakaran besar di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini, awal pagi 28 Jun lalu.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar jam 4.52 pagi
Jelasnya, kebakaran itu merebak dengan pantas susulan keadaan rumah yang berdekatan, selain tekanan air dari pili bomba agak rendah. – KOSMO! ONLINE