KLUANG – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menzahirkan rasa syukur apabila rakyat di kawasan itu terus menolak politik kebencian dan sentiasa mengutamakan perpaduan serta keharmonian.
Beliau berkata, budaya hidup harmoni yang sekian lama menjadi kekuatan masyarakat di Sembrong perlu terus dipertahankan, lebih-lebih lagi ketika suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sering menyaksikan perbezaan fahaman politik.
Menurutnya, politik tidak seharusnya dijadikan medan untuk menyemai kebencian atau memecah-belahkan hubungan antara kaum dan masyarakat.
“Kadang-kadang politik digunakan sebagai kesempatan untuk memecah-belahkan masyarakat, tetapi perkara itu tidak dibenarkan berlaku di Parlimen Sembrong.
“Saya rasa gembira, terharu dan bersyukur kerana sentimen seperti itu tidak diterima oleh orang ramai, khususnya di Kahang dan Paloh serta Sembrong amnya,” katanya ketika ditemui selepas mengundi hari ini.
Terdahulu, Hishammuddin bersama isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah tiba di pusat mengundi di Sekolah Rendah Agama Taman Sri Lambak di sini kira-kira pukul 10.37 pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan petugas pilihan raya dan pengundi yang hadir sebelum meninggalkan pusat mengundi sejurus selesai membuang undi. – KOSMO! ONLINE















