PETALING JAYA – Sudah tiba masanya masyarakat menghentikan normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi, selain bangkit membina benteng akhlak dan rohani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, runtun hati beliau apabila data berkait kes HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang mana majoriti melibatkan usia 18 hingga 19 tahun.
“Sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal agama, saya amat bimbang dengan perkembangan ini.
“Gejala sosial dan keruntuhan nilai moral menjadi punca utama kepada peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan anak muda,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau menasihati pelajar dan anak muda supaya menjaga maruah dan nilai diri serta menjadikan agama bukan sekadar pelajaran, tetapi panduan kehidupan.
“Hiduplah dengan prinsip, bukan sekadar ikut arus. Pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan perlu berjalan seiring.
“Agensi agama, pertubuan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan mesti berganding bahu untuk menyelamatkan generasi pewaris negara,” katanya.
Katanya, kerajaan Madani komited membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi intelek, tetapi juga sihat dari segi akhlak dan spiritual.
Media melaporkan, sebanyak 1,091 pelajar IPT direkodkan menghidap HIV antara tahun 2020 hingga 2024 dengan 222 kes baharu tahun lalu, majoritinya berusia hanya 18 hingga 19 tahun. – KOSMO! ONLINE