Gambar yang dimuat naik oleh Fadhlina di laman Facebook.

Cinta terhadap Rasulullah perlu terlihat pada akhlak – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kecintaan terhadap Rasulullah SAW bukan sekadar dizahirkan menerusi selawat, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui akhlak dan cara seseorang memperlakukan manusia.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, umat Islam perlu bermuhasabah sejauh mana kecintaan terhadap Rasulullah SAW dapat dilihat menerusi tingkah laku dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, akhlak seseorang bukan sahaja dinilai ketika berhadapan dengan individu yang berbuat baik, malah turut diuji ketika dicerca atau dilemparkan dengan kata-kata yang menyakitkan.

“Akhlak juga diuji ketika kita dicerca, ketika kata-kata dilemparkan kepada kita. Ketika kita mempunyai pilihan untuk membalas, tetapi memilih untuk tetap berbuat baik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sambutan berkenaan turut mengajak umat Islam bermuhasabah dan kembali menjadikan perjalanan serta akhlak Rasulullah SAW sebagai pedoman kehidupan.

Katanya, kecintaan terhadap Rasulullah SAW juga perlu diterjemahkan melalui sifat sabar, kasih sayang dan hubungan sesama manusia.

“Mencintai Rasulullah SAW bukan sekadar pada selawat yang kita lafazkan, tetapi pada sabar yang kita pertahankan, kasih yang kita sebarkan dan cara kita memperlakukan manusia.

“Hari ini kita berselawat dan memperingati Baginda. Esok dan hari-hari seterusnya, biarlah kecintaan itu terlihat pada akhlak kita,” katanya.

Tambah Fadhlina, dia sendiri masih berusaha mempelajari dan mengamalkan nilai berkenaan dalam kehidupan sehariannya.

“Kerana sebaik-baik cara mengenang Rasulullah SAW adalah dengan berusaha menjadi manusia yang lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN