BANGI – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) berjaya melaksanakan reformasi dalam memastikan kekurangan guru ditangani di negara ini menerusi pelbagai mekanisme dan langkah bagi menoktahkan isu tersebut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam masa sama isu kekurangan guru itu turut ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Kita telah menoktahkan dan ke arah dalam memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi dengan mekanisme.
“Selain itu, kita pastikan guru-guru yang dihantar adalah berkualiti dan memenuhi keperluan anak didik. Insya-Allah akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya berucap pada Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM Ke-15 Tahun 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata, ramai yang menyangkakan kerjaya sebagai guru dikatakan senang, malah permohonan ke IPG pada saban tahun juga dilihat meningkat luar biasa
“Kita tidak mahu mereka lihat guru semata-mata karier, tetapi dilatih menjadi guru yang benar-benar ‘menyala’ rasa sebagai guru.
“Sebab itu laluan ke IPG kita ambil kira keperluan semasa,” katanya.
Fadhlina berkata, laluan menyertai IPG dibuka seluas-luasnya termasuk kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz Ulul Albab (TMUA).
Dalam perkembangan lain, katanya, pada tahun depan juga menyaksikan kohort pertama program sarjana IPGM yang akan bergraduat.
“Kita akan menyaksikan pasukan pertama, insya-Allah akan menamatkan sarjana di IPG tahun depan.
“Selepas mereka dapat ijazah, IPG juga sediakan ruang sambung pendidikan ke peringkat sarjana,” katanya. – KOSMO! ONLINE