KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang bertindak ala samseng ditahan apabila seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah pemandu kereta setelah terbabit dalam kemalangan di Taman Desa di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun pada pukul 12.55 tengah malam.
“Mangsa memaklumkan cermin sisi kanan kereta jenis Honda City yang dipandunya dilanggar Toyota Yaris berwarna merah.
“Akibat pelanggaran itu, berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak. Secara tiba-tiba pemandu Toyota Yaris mengeluarkan sepucuk pistol lalu mengacukannya ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Berikutan laporan itu, katanya, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 27 tahun bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati pistol yang digunakan adalah senjata tiruan yang dibeli menerusi TikTok,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan.
“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibenarkan selama empat hari hingga Sabtu ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE