fbpx
Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian tembakan di hadapan sebuah sekolah di Butterworth kelmarin.

Sempat bongkok badan sebelum dibedil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Nyawa seorang lelaki masih panjang apabila dia terselamat biarpun ditembak bertalu-talu dari jarak dekat ketika menunggu anaknya berhampiran sebuah sekolah di Butterworth di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.40 petang itu, mangsa berada di dalam trak pikap jenis Nissan Navara berwarna hitam yang dile­takkan berhampiran pintu masuk sekolah berkenaan.

Difahamkan, suspek yang menaiki kereta memberhentikan kenderaannya di hadapan trak pikap mangsa dan meluru ke arah cermin pemandu sebelum melepaskan beberapa das tembakan.

Sumber berkata, suspek yang dipercayai tidak dikenali mangsa itu kemudian beredar dari lokasi kejadian.

“Lelaki itu tidak mengalami kecederaan kerana dia bertindak pantas membongkokkan badannya sebaik menyedari kehadiran suspek.

“Semasa kejadian, persekolahan sesi petang belum tamat, jadi tiada murid yang berada di luar pekarangan sekolah termasuk anak mangsa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Video kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan keadaan mangsa di tempat duduk pemandu dan orang ramai mengerumuni kenderaannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Ini merupakan kes tembakan keempat yang berlaku dalam tempoh tiga minggu kebelaka­ngan ini.

Tiga kes sebelum ini masing-masing dilaporkan berlaku di Cheras dan Brickfields, Kuala Lumpur yang meragut tiga nyawa pada 13 dan 17 Jun lalu.

Satu lagi insiden membabitkan senjata api dilaporkan berlaku di Klang, Selangor pada 20 Jun lalu yang menyebabkan seorang pemandu trak pikap terkorban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN