BALING – Seorang pekerja bengkel aluminium terpaksa berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian untuk mengurus isterinya yang koma akibat kemalangan jalan raya sejak Mac lalu.
Menurut Muhammad Saufi Mustaffa, 31, dia terpaksa mengambil keputusan berat itu termasuk hilang punca pendapatan tetap memandangkan isterinya, Nor Izati Ahmad, 28, terlantar dan tidak mampu untuk menguruskan diri.
“Saya kini hampir kehabisan wang simpanan. Saya memerlukan hampir RM70 sehari untuk membeli susu khas, lampin pakai buang selain kos membawa isteri untuk rawatan lanjut ke hospital,” katanya di rumah mentuanya di Kampung Paya Menora, Kuala Ketil di sini baru-baru ini.
Kata bapa kepada tiga anak berusia lapan bulan, tujuh dan 10 tahun itu, isterinya yang juga seorang pekerja kilang koma selepas mengalami pendarahan di kepala, leher retak, patah tulang pinggul selepas terlibat kemalangan di Kampung Padang Kulim pada akhir Mac lalu.
“Sejak itu dia menerima rawatan selama hampir sebulan di Hospital Sultan Abdul Halim sebelum dibawa pulang ke rumah mentua di kampung ini.
“Kami terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu menjelaskan bayaran selain menumpang di rumah mentua yang turut membantu saya mengurus isteri dan tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah,” katanya.
Menurutnya, dia tertekan kerana kekurangan wang berikutan permohonan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat tidak dapat disempurnakan kerana masih menunggu laporan kesihatan isterinya.
Bagaimanapun, dia berterima kasih kepada ibu bapa mentua yang memberi tempat untuk mereka berteduh serta meneruskan hidup.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional 0212641000094557 atas nama Muhammad Saufi Mustaffa atau menghubunginya di talian 019-8610870.