KUALA LUMPUR – Skuad badminton wanita negara diingatkan supaya tidak mengambil mudah cabaran Turkiye pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark hari ini.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen percaya wakil Eropah itu akan cuba memberikan tentangan serta tekanan kepada pasukan negara sepanjang perlawanan tersebut.
Beliau berkata, aksi menentang Turkiye itu amat dinanti-nantikan memandangkan beliau mahu melihat sejauh mana kemampuan pemain-pemain wanita negara berdepan situasi berkenaan.
“Kita mesti berjuang untuk berdepan dengan tekanan selain percaya kepada kemampuan diri. Sekiranya kita mempamerkan aksi terbaik, memang kita memiliki peluang cukup cerah untuk mencatat keputusan positif.
“Bagaimanapun, saya yakin Turkiye akan memberikan segala-galanya bagi meletakkan kita dalam tekanan. Ini adalah perlawanan yang saya tunggu-tunggu kerana mahu lihat kemampuan pemain berdepan keadaan begitu,” katanya kepada BAMTV.
Pengendali dari Denmark itu turut menjelaskan, Malaysia akan turun dengan perancangan yang melibatkan taktikal selain mengakui lega kerana pemain-pemain negara sudah pun mengharungi kem latihan pusat di Herning sebelum ini.
“Semuanya nanti akan bergantung kepada susunan perlawanan. Apa sahaja boleh berlaku dalam setiap perlawanan tetapi kita akan mengharunginya dengan beberapa strategi serta persiapan taktikal.
“Saya fikir semua pemain sudah bersedia untuk memulakan kempen selepas menjalani kem latihan pusat selama seminggu. Mereka sangat bermotivasi untuk turun pada perlawanan pertama nanti,” ujar Jonassen. – KOSMO! ONLINE














