PETALING JAYA – Acara larian berprestij, IJM Allianz Duo Highway Challenge (DHC) 2026 terus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila edisi kali ini sekali lagi diperakui badan olahraga dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara larian lebuh raya utama di rantau ini.
Dijadual berlangsung pada 2 Ogos depan, edisi kelapan acara itu menawarkan pengalaman unik kepada peserta apabila merentasi dua lebuh raya ikonik, iaitu Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA-E90) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE-E10).
Penganjuran yang mendapat pengiktirafan Olahraga Dunia (WA) itu menjadi bukti kualiti serta standard tinggi acara berkenaan, selain meningkatkan keyakinan pelari tempatan dan antarabangsa untuk mengambil bahagian.
Lebih menarik, acara tahun ini menyasarkan penyertaan seramai 15,000 peserta merangkumi pelari elit, kompetitif dan juga komuniti yang ingin menjadikan larian sebagai gaya hidup sihat.
Peserta akan ditawarkan empat kategori perlumbaan iaitu maraton penuh (42.195 kilometer), separuh maraton (21km), 10km dan 5km, sekali gus membuka peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertai acara tersebut.
Pendaftaran akan dibuka bermula 26 April hingga 22 Jun 2026 dan peserta yang berminat boleh mendaftar melalui pautan rasmi di https://race.mas.run/dhc2026 atau laman web rasmi di www.ijmhighwayrun.com
Sebagai tarikan tambahan, penganjur turut menawarkan ganjaran eksklusif termasuk promosi diskaun khas kepada peserta terdahulu serta peluang naik taraf kategori pada kadar istimewa bagi edisi kali ini.
Sejak diperkenalkan pada 2017, acara tersebut telah menarik lebih 70,000 peserta termasuk pelari antarabangsa, dengan edisi tahun lalu sahaja mencatat kehadiran lebih 13,000 peserta dari 31 negara, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara acara larian lebuh raya paling berprestij di Malaysia. KOSMO! ONLINE








