“Eh! Banyak betullah terbitan buku,” kata abang penulis saat bercerita tentang kunjungannya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mungkin dia tidak menyangka di era digital ini, buku fizikal yang difikirkan hidup serupa segan mati tak mahu, rupa-rupanya bagai direndam tak basah, dibakar tak hangus.
Ceritanya yang mencari buku nukilan Ayman Rashdan Wong setelah tertarik di TikTok, buku-buku ilmiah seperti geopolitik juga diminati ramai tidak kira usia. Anak-anak muda zaman sekarang yang tangan ‘berjahit’ gajet pun mencari buku fizikal.
Di sebalik persepsi rakyat Malaysia tidak suka membaca dan buku fizikal tiada lagi tempat di era digital, apa yang disaksikan sebaliknya. Ketika kaset, cakera padat, kamera, televisyen, radio tewas atau tercabar dalam era digital, buku fizikal nampaknya terlalu kental.
Seorang penerbit buku berkongsi di aplikasi X bahawa dia cukup berpuas hati dengan jualan bukunya yang disifatkan lebih baik daripada tahun lalu.
“Alhamdulillah, total jualan di reruai saya mengatasi total jualan PBAKL2024! Sebagai penerbit mandiri, ini pencapaian membanggakan bagi saya,” kata Hilal Asyraf.
Di Malaysia juga trend piknik baca iaitu orang ramai keluar ke taman atau pantai sambil membawa buku fizikal dihidu mula menular. Terdapat juga video tular betapa anak muda berebut-rebut masuk pintu pesta buku bagaikan teruja memasuki pesta makanan.
Tahun 2025 bagai satu ‘comeback’ kepada buku fizikal. Mungkin lebih sedekad lalu, kita membayangkan buku fizikal akan malap atau terkubur dengan kehadiran gajet, tablet, e-buku dan audiobook tetapi tidak ya.
Fenomena ini bukan sahaja di Malaysia. Bahkan, dirasakan seluruh dunia. Terdapat juga artikel oleh portal MSN bertajuk Why Physical Books are Making a Surprising Comeback in 2025.
Ramai yang pernah bergelumang buku digital kembali kepada buku fizikal bila lama-kelamaan mula merasakan ada kenikmatan yang ‘hilang’ dan sedar ‘kekurangan’ buku digital.
Antaranya ialah manusia mula merasakan digital fatigue. Dalam kehidupan penuh dengan peranti-peranti digital, ramai orang mula merasakan keletihan digital.
Telefon pintar, tablet dan komputer yang menunjangi kehidupan harian menyebabkan sakit mata dan penat mental. Ramai beralih kepada buku fizikal sebagai altenatif yang melegakan.
Kedua, ialah pengalaman deria. Ramai mendapat satu kenikmatan apabila memegang buku, menyelak helaian, melihat ketebalan, menyentuh tekstur, menghidu kertas atau dakwat yang tidak ada pada buku digital. Kajian oleh Journal of Research in Reading mendapati membaca buku fizikal membawa kepada keterhubungan emosional yang lebih dalam dengan content.
Selain itu, yang lebih penting ialah ia dipacu oleh Gen Z sendiri. Dalam artikel The New Age of reading: how Generation Z is leading a physical book comeback dinyatakan generasi baharu hari ini menjadikan membaca buku fizikal sebagai stylish trend.
Dengan kewujudan TikTok, anak-anak muda bukan sahaja berkongsi ulasan buku tetapi juga cantiknya kulit buku, susun buku dan betapa seronoknya pembacaan melalui tampalan nota, highlight berwarna dan sebagainya berteras tanda pagar seperti BookTok.














