LONDON – Potensi perpindahan pemain sayap Nottingham Forest, Anthony Elanga yang dikaitkan menyertai Newcastle United pada jendela perpindahan kali ini dilaporkan semakin positif.
Wartawan sukan England, Keith Downie mendedahkan bahawa potensi tersebut berada pada landasan yang betul ketika ini biarpun Forest menolak bidaan pertama bernilai £45 juta (RM259.31 juta) daripada Newcastle.
Bagaimanapun, beliau percaya bahawa Newcastle akan tiba sekali lagi dengan tawaran yang lebih baik untuk memastikan mereka mampu membawa pulang Elanga ke St. James Park sebelum musim baharu bermula.
“Elanga ketika ini menjadi buruan utama Newcastle. Sebelum ini mereka menamakan Bryan Mbeumo, namun kini Elanga yang saya fikir merupakan pilihan terbaik untuk gaya permainan Eddie Howe.
“Perjanjian ini bakal dimuktamadkan. Newcastle tidak berdepan cabaran untuk mendapatkan pemain itu, jadi mereka memiliki kelebihan dalam proses rundingan kerana percaya semakin hampir dengan jumlah yang akan dipersetujui oleh Forest.
“Mereka menawarkan £45 juta, namun Forest mahukan £60 juta (RM345.75 juta). Saya fikir jika Newcastle mampu berikan sekitar £52 juta (RM299.65 juta) atau £53 juta (RM305.41 juta), Forest akan bersetuju,” katanya.
Downie percaya proses rundingan yang sedang berjalan akan memberikan isyarat positif untuk memastikan Newcastle mampu mendapatkan pemain yang diinginkan. – AGENSI