fbpx
Antara ikan tamok saiz kasar yang berjaya dinaikkan Hafiz.

‘Menamok’ di tebing berbatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Trip kali ini saya dan rakan-rakan mencuba memancing ikan tamok atau kami gelar aktiviti meman­cing spesies ikan itu sebagai ‘menamok’. Kawasan pilihan untuk menamok merupakan tambak berbatu yang popular bagi pemancing tempatan.

Pelbagai jenis ikan dapat dipan­cing di kawasan tambak berbatu tersebut terutamanya ikan bebulus, gelama, pari atau ketuka, tetanda, senangin, siakap merah dan yang selalu dicari pemancing adalah ikan siakap putih.

Sebenarnya kawasan ini saya tidak sangka ada ikan tamok. Biasanya, saya lihat hanyalah kumpulan anak-anak ikan belanak yang selalu diligan oleh ikan siakap putih.

Sebab itulah gewang yang berupa anak belanak atau umpan anak belanak amat menjadi untuk mencari ikan siakap putih di kawasan berbatu ini.

‘Menamok’
Kali ini saya melupakan sebentar pemburuan ikan siakap putih, sebalik­nya hanya menumpukan pancingan ikan tamok. Mungkin pancingan ikan ini ada keseronokannya yang tersendiri.

Oleh itu, saya menerima pelawaan daripada Hafiz untuk memancing ikan tamok kerana dia lebih arif tentang cara-cara pancingannya.

Menurut Hafiz dan rakan-rakannya, ikan tamok di kawasan tambak berbatu tersebut lebih sesuai dipan­cing di sebelah petang. Ini kerana mengikut pengalamannya dalam trip-trip sebelum ini, pada waktu pagi, ikan tamok sukar dijejaki.

Jika ada pun kumpulannya di kawasan sekitar, namun ia sukar untuk dipujuk makan umpan walaupun telah dirasuah terlebih dahulu. Berkemungkinan ia ada kaitan dengan faktor arus dan angin yang tidak kena pada waktu pagi atau sumber makanan semula jadinya masih banyak.

Sebelum memancing, tabur dahulu cebisan roti untuk memanggil kumpulan ikan tamok merapati tapak memancing.

Manakala di waktu petang pula, mungkin keadaan air yang lebih lenang dan kurang berangin memudahkan pemancing menjejak serta merasuahnya.

Mungkin juga ikan ini perlu makan dengan segera sebelum gelap menjelma menyebabkan ia lebih mudah dipancing. Seperti yang dijanjikan, pada pukul 5 petang, kami sudah pun sampai ke destinasi tambak berbatu yang menjadi habitat ikan tamok iaitu di Kuala Madat.

Ia terletak bersebelahan dengan Kuala Pak Mat di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Menurut Hafiz, hanya di sini ikan tamok boleh dipancing, manakala di Kuala Pak Mat pula ikan ini belum pernah lagi menjadi tangkapan mereka.

Rasuah
Sebelum memancing tamok, kami terlebih dahulu menabur cebisan roti sebagai rasuah. Ia bertujuan memujuk kumpulan ikan tamok supaya rapat ke tebing. Kami lakukan rasuah di sepanjang tebing sehinggalah terjumpa kumpulan ikan tamok.

Setelah jumpa kumpulannya, maka rasuah roti akan lebih kerap ditabur supaya ia berlegar di kawasan berhampiran sahaja, jadi ini akan memudahkan proses kami meman­cingnya.

Pencarian kami akhirnya membuahkan hasil apabila sekumpulan ikan tamok akhirnya muncul membaham roti yang dirasuah itu.

Tanpa berlengah, kami bertiga mula melabuhkan umpan dengan menggunakan dua cara iaitu roti berpelampung dan tidak berpelampung.

Roti Gardenia tetap menjadi pilihan nombor satu jika merasuah dan mengumpan ikan tamok kerana lebih tahan di air serta di mata kail, tidak cepat hancur seperti roti-roti jenama lain.

Selain itu, bau wanginya juga cepat menarik perhatian ikan tamok untuk merapati.

Tidak sampai beberapa minit umpan dilabuhkan, seekor ikan tamok saiz hidangan membawa lari umpan bersama pelampung ke celah-celah batu untuk menyelamatkan diri, namun usaha itu gagal dan ia berjaya ditewaskan oleh Hafiz.

Kemudian, tiba pula giliran Danish beraksi dan dia berjaya juga menaikkan ikan tamok.

Saya yang teruja segera melabuhkan umpan dengan harapan dapatlah ‘lesen’ memancing ikan tamok untuk tahun ini. Namun sia-sia sahaja apabila ikan kerap meloloskan diri dengan memutuskan tali 1.5 paun (lb) pada batu dan teritip. Memandangkan tali tersebut tidak sesuai, saya tukar set pancing dengan tali kekuatan 6lb. Akhirnya, ikan

tamok pelbagai saiz berjaya dibawa naik.

Apabila matahari sudah mula terbenam, kumpulan ikan tamok sudah mulai hilang dari tempat buruan kami.

Yang tinggal hanyalah ikan-ikan pengacau umpan kami. Hari semakin gelap dan kami menamatkan trip dengan janji untuk turun selalu ke sini untuk menamok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN