fbpx

Duda didakwa lempang anak 4 tahun sebut ‘bodoh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan menampar anaknya. Foto ARIF HAMIZAN MISKON/ KOSMO!

MELAKA – Seorang duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menampar pipi anak perempuannya berusia empat tahun sehingga cedera, tiga bulan lalu.

Tertuduh Mohamad Hazmi Mansor, 34, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun dengan cara menampar pipi mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang di sebuah kedai di Taman Cheng Utama, Melaka Tengah pada 7 April 2025 lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM 2,000.

Difahamkan, tertuduh yang telah bercerai sejak empat tahun lalu bertindak sedemikian selepas berang mangsa menyebut perkataan ‘bodoh’ berulang kali meskipun setelah ditegur.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan dengan mengambil kira faktor mangsa adalah anak kandung tertuduh.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan memandangkan anak guamnya baru diberhentikan kerja, selain perlu menanggung orang tuanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh 11 Ogos ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI