IPOH – Bekas Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Perak berkuat kuasa hari ini.
Wan Mohd. Zahari yang dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner itu mengambil alih jawatan tersebut daripada Senior Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin@Hilmi.
Zairulnizam yang berkhidmat selama hampir empat bulan di Perak kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas itu disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini hari ini.
Pada majlis sama, Noor Hisam turut menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman dan Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Jafri Md Zain serta pemakaian pangkat dua pegawai kanan polis itu. – KOSMO! ONLINE