AMPANG – Seorang buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu lebih 20 kilogram (kg) bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Munzir Abdurrahman, 50, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Munzir telah didapati mengedar dadah Methamphetamine (syabu) anggaran berat 20, 850 gram di parkir sebuah pusat beli belah di Taman Melawati di sini pukul 12.38 tengahari pada 22 Jun lalu.
Justeru pertuduhan terhadapnya di kemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Kirthana sementara tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober ini bagi tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.
Sebelum ini media melaporkan seorang buruh warga Indonesia ditahan polis kerana memiliki dadah jenis syabu lebih 20 kilogram.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki tersebut ditahan di kawasan sebuan pusat beli belah di Taman Melawati di sini ketika sedang berjalan kaki sambil menjinjit satu beg kanvas dengan tangan kanannya pada jam 12.35 tengahari. – KOSMO! ONLINE