fbpx

Polis rakam 19 keterangan babit himpunan benci rasuah di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang dianjurkan sekitar ibu negara, Ahad lalu. Foto oleh AMIR HAIKAL/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis telah merakam 19 keterangan berkaitan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang dianjurkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di sekitar ibu kota Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, keterangan tersebut diambil secara menyeluruh terdiri daripada anggota polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta petugas media.

Katanya, setakat ini pelaku yang membakar suar telah pun dikenal pasti namun keterangan masih belum diambi.

“Pihak mereka (penganjur perhimpunan) pun ada buat laporan polis. Jadi kita akan siasat secara adil, dua-dua keterangan kita akan ambil sebelum buat apa-apa cadangan ke Timbalan Pendakwa Raya sama ada perlu tuduh ada tidak.

“Kita sedang lengkapkan siasatan dan setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis terima tiga laporan polis berkaitan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang dianjurkan seramai 100 orang Gabungan Mahasiswa bermula dari Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman kemudian berarak ke Dataran Merdeka, Jalan Raja.

Ia susulan kejadian salah seorang peserta Gabungan Mahasiswa mula membakar suar sehingga menyebabkan kepulan asap tebal.

Sementara itu, Mohamed Usuf memberikan peringatan kepada para penganjur agar membuat sebarang perhimpunan dengan cara aman dan berhemah.

Ujarnya, apa-apa jua perhimpunan boleh dilakukan asalkan mematuhi Akta Perhimpunan yang telah ditetapkan di bawah undang-undang.

“Boleh berhimpun, gunakan pelepasan dengan sebaik mungkin. Tak perlu nak bakar suar untuk menunjukkan perasaan.

“Saya menyeru kepada mereka-mereka yang nak berhimpun, jaga tingkah laku. Kita kena ada adab yang tinggi, baru boleh tunjukkan perasaan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI